Wednesday, 18 May 2016

Cara Mudah Khatam Al-Quran dalam 30 Hari

BY Ridhwan IN No comments

Bagaimana untuk mudah khatam Al-Quran dalam masa yang singkat? adalah soalan yang biasa diajukan oleh sesiapa yang ingin mengamalkannya atau mereka merasakana agak sukar untuk khatam Al-Quran atas alasan sibuk.


Artikel yang baik ini diambil dari blog Muzir, diolah sedikit sebanyak untuk perkongsian kita bersama.

Pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, ada para sahabat Nabi yang mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh yang sangat singkat.  Namun, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam memberi pesan bahawa jika mahu khatam dalam masa yang singkat, maka janganlah khatam kurang dari 7 hari.

Dari `Abdullah bin `Amru radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Bacalah (khatamkanlah) al-Quran dalam sebulan sekali.” Aku berkata:  “Sesungguhnya aku mampu untuk lebih dari itu.”  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:  “Maka, khatamkanlah dalam tujuh hari, jangan kurang dari itu.”

(HR al-Bukhari)

Pesanan ini bertujuan supaya para sahabat membacanya dalam keadaan baik, tidak tergopoh-gapah dan membacanya dengan penghayatan.  Kerana manfaat utama dari al-Quran adalah dengan menghayati maksudnya.  Di samping itu, supaya para sahabat tidak melupakan akan tugas dan peranan harian mereka.

Orang-orang soleh dari kalangan para sahabat, tabi`in, tabi`ut tabi`in, salafussoleh dan selepas zaman mereka sentiasa dalam masa ke semasa khatam al-Quran.  Mereka bukan sekadar baca dan faham.  Malah mentadabburnya dan menghidupkan inti al-Quran.  Kita wajar mencontohi sifat mereka yang mulia itu.

Memang ada dalam riwayat menceritakan beberapa tokoh salafussoleh yang mengkhatam lebih singkat dari 7 hari, terutamanya pada bulan Ramadhan.  Namun mereka melakukannya kerana mereka faham akan kemampuan mereka membacanya dengan tartil, tajwid yang betul, faham makna dan penghayatan.  Sambil tidak mengganggu aktiviti harian dan tugasan mereka.  Contohnya Imam Asy-Syafi`i diriwayatkan khatam al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan.  Ma sha’ ALLAH!  Jauhnya kita.  Lemahnya kita.


Cara Mudah Khatam Al-Quran dalam 30 hari


Di sini dikongsikan amalan yang mudah boleh diikuti untuk khatam Al-Quran dalam 30 hari. Cara ini tidak susah, tidak membebankan dan boleh diterima pakai ramai. Jika malas, tidak termasuk dalam cara ini.



Ketahui:

Dalam mushaf Al-Quran, setiap juzu' telah dicetak dengan ayat-ayat Al-Quran sebanyak 20 muka surat. Bermakna setiap juzu' ada 20 muka surat. Al-Quran mempunyai 30 juzu'.

Bahagikan 20 muka surat dengan 5 iaitu waktu solat Fardhu; Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya'. Ilustrasinya begini:

20 muka surat ÷ 5 waktu solat Fardhu = 4 muka surat per waktu

Bermakna setiap solat fardhu, kita hanya membaca 4 muka surat.

Nak mudah lagi?

Bahagikan 4 muka surat tersebut kepada 2 bahagian iaitu:

2 muka surat sebelum solat Fardhu
- 2 muka surat selepas solat Fardhu

Jadi, kiraan bacaannya adalah:

4 muka surat X 5 waktu solat = 20 muka surat = 1 juzu' sehari

Jadi cukuplah kiraan Cara Mudah Khatam Al-Quran dalam 30 hari apabila istiqamah melakukannya kerana:

1 juzu' X 30 hari = 30 juzu'

Diharapkan cara ini dapat digunakan oleh semua untuk memudahkan khatam Al-Quran. Cara ini boleh diolah mengikut matlamat kita untuk khatam dalam jangka waktu yang kita tetapkan. Jika kita hendak khatam dalam masa 2 bulan, olah cara ini kepada 1 juzu untuk 2 hari (contoh).

Bonus:

Dalam membaca Al-Quran, digalakkan;

- Membaca dengan tajwid yang betul
- Sebaik-baiknya membaca sekali dengan makna ayat Al-Quran
- Sentiasa berusaha membaiki mutu bacaan
- Paling penting! Istiqamah; Biar sedikit namun berterusan mengamalkannya.

Moga artikel ini bermanfaat untuk semua. Semoga kita semua diberi hidayah dan taufiq dari Allah S.W.T. Insha Allah.

0 comments:

Post a Comment